Aku kalau ditanya, waktu mana paling ingin aku ulang, mungkin jawapannya hanya satu.
Zaman universiti!
Aku berpendapat, zaman universiti ialah kedua yang terseronok selepas zaman sekarang (emak anak dua dan teman hidup kepada encik jambang itu)
Kalau nak feeling-feeling muda, ada dua lagu aku akan pasang. Err atau lebih daripada dua.
1) Faizal Tahir - Gemuruh
Lagu tema Haluan Siswa atau orientasi seluruh Malaysia ni memang membangkitkan semangat. Zaman berat 50kg dan muka cengkung walaupun masih nampak berisi. Suara Faizal Tahir yang padu dan bertenaga tu seakan-akan mengalir pada lagunya.
2) Lagu tema Haluan Siswa masa tahun aku. Satu Suara. Huii lagu ni memang terbayang baju biru kuning Kolej 8 yang aku masih pakai sampai sekarang. Keadaan dewan yang riuh nyanyi. Dengar lagu ini automatik aku rasa aku berusia 20 tahun.
3) Beijing Huan Ying Ni
Lagu ini perasaannya sangat istimewa. Masa aku jalani pertukaran pelajar ke Beijing, lagu ini buat aku rasa Beijing betul-betul 'welcome' aku ke sana. Aku terus terbayang suasana musim bunga di sana. Sejuk sejuk sampai mulut aku keluar asap. Tembok Besar China, Forbidden City, rombongan bersama kawan-kawan shopping. Bilik di Bangunan Putih (Bai Lou) yang khas untuk aku seorang tidur tapi aku tak inap di sana, sebaliknya duduk bersama Aizzul dan Kak Zila di Bangunan Tujuh (Qi Lou). Kelas di sana yang sangat selesa, terasa sama seperti di dalam drama dan movie.
Kadang-kadang terbit rasa sedih, sebab masa lalu takkan boleh diulang. Itulah resam dunia. Kita hanya boleh laluinya sekali, takkan dapat diulang lagi walau betapa kita inginkannya.
Bagi aku, hargailah masa yang kita ada sekarang. Mungkin sekarang inilah masa yang kita akan rindu nanti. Dan sampai masanya, kita akan tahu juga, dengan memenuhi masa itu dengan mengingati Allah dan beribadat pada-Nya dengan penuh penyesalan dan taubat ialah tindakan terbijak.
Aku selalu berharap, dan semua pun begitu juga. Semoga Allah kurniakan kita syurga Firdaus. Semoga dengan kurniaan itu, kita dapat ulangi masa muda kita selamanya. Takkan tua dan kekal jelita, malah lebih jelita daripada apa yang kita pernah bayangkan.
Jangan anggap aku obsess pula untuk jelita. Zaman muda itu yang indahnya pada semangat, pada peluang menimba ilmu, pada kawan yang baik, pada masa untuk menjelajah dunia. Itulah bagiku zaman muda yang aku rindui.
Aku tak harapkan apa-apa kegemilangan masa muda untuk kembali dirasai. Seperti aku dapat belajar dan cemerlang, jelajah perpustakaan dan ilmu baharu. Tidak lagi. Cukup aku belajar ilmu baharu saat aku besarkan Sofea dan Dhina. Itulah master dan phD aku.
| Aku yang ingkar arahan untuk masukkan tudung ke dalam baju. Dan aku mengagumi tindakan sendiri. |
Comments
Post a Comment