Skip to main content

Domo Kun: Bahagian Dua

 Mengenali beliau, tidak banyak yang aku dapat fahami mengenai dirinya, mengenai keluarganya dan apa pandangan dia sendiri terhadap aku.


Tidak banyak yang diceritakan. Tapi aku masih ingat dengan jelas, dia pernah bercerita tentang neneknya yang membebel pada abangnya kerana menggoreng nasi tidak cukup masin. Lalu abangnya yang melenting, terus menabur garam pada kuali yang berisi nasi goreng untuk seisi keluarga. Tanpa dikacau, nasi goreng itu dirasakan sangat bergaram saat dihidang. Abangnya puas hati, nenek pula diam makan seperti tiada apa-apa berlaku. Domo Kun mengunyah dengan penuh kepayahan menahan kemasinan. 


Hatinya juga rapuh, seperti wanita yang lain. Saat disindir pemandu bas UM, dia nekad untuk kuruskan badan. Setiap pagi, setiap petang, dia akan membuat pusingan di Tasik Varsiti dengan beridentitikan sweater merahnya. Hingga akhirnya dia telah mendapat bentuk badan yang ideal, dia masih tidak berhenti berjoging. 


Kemudian aku juga teringat ceritanya, dia terpijak seekor anak kucing. Kejadian itu sungguh buatkan dia trauma kerana akhirnya kucing itu mati. Siapa yang mengenali dia, akan tahu betapa sayangnya dia pada kucing. Tak dapat disangkal lagi. Dia kata, "Kami tak suka budak. Suka kucing lagi." Aku ketawa sahaja. Mungkin betul, kanak-kanak lebih menduga kesabaran. 


Entah bagaimana perbualan dapat terarah pada suatu topik. Katanya, dia selalunya tidak menghubungi kembali kawan-kawan sekolah lama. Selalunya terputus begitu sahaja hubungan. Aku tahu, pasti ke mana-mana sahaja dia pergi, dia akan disenangi. Sedangkan dengan hanya menjadi pengunjung tegar bilik TV pun dia dapat berkawan rapat dengan kakak senior, apatah lagi dengan kawan rapat. Bukankah seronok punya kawan yang ramai, kenapa perlu diputuskan? 


Lalu akhirnya kita pun melalui jalan yang sama, Domo Kun. Senyap dan sepi. Melalui dia, aku mengenali Kamilah, junior rakan sebiliknya. Dia juga sepertiku, mencari Domo Kun yang hilang tanpa khabar dan kata. 


Kami selalu berbicara mengenai kebaikannya, mengenai peribadinya. Aku fikir, aku ditinggalkan dengan kenangan yang manis-manis dan murni-murni sahaja mengenainya. Mungkinkah itu yang dimahukannya?


Samar-samar, aku mungkin memahami. Adakah dia mahu tinggalkan semua yang indah-indah saja? Kerana alam universiti itu terlalu bahagia untuk dikenang. Jiwa muda yang mencari ilmu, dikelilingi rakan yang pelbagai, dunia terasa begitu luas. 


Namun saat kami melangkah ke alam sebenar, tak dapat aku nafikan, ada perhubungan yang telah terputus dek iri hati dan salah faham. Mujur kita (aku dan Domo kun) tidak teruskan perhubungan yang rapat dan mesra, kerana mungkinkah ia akan terputus jika diteruskan? Itu logik aku. Mungkin tepat dan mungkin salah. Semuanya berbalik pada hati individu itu sendiri. 


Oh ya, aku tahu, dia selalu melihat IG Story aku, tapi tidak FB. 


Kali terakhir dia menghubungiku, dia meminta sebaris nombor telefon aku. Katanya, dia di Puchong. Pemandu Grab wanita yang membanggakan aku. Setelah dia selesaikan ijazah keduanya di UiTM, aku tidak pasti apa kisahnya. Yang aku tahu, dia gembira kerana akhirnya dapat menimba ilmu fotografi, bidang yang disukainya. 


Domo Kun akan tetap berada dalam daftar doaku. Biar doa yang menghubungkan persahabatan. Aku tahu, aku sendiri bukan seorang kawan yang sempurna, bahkan aku pernah membuatkan air mata mengalir di pipinya. Bukan pula aku menyakitinya, tetapi kerana aku telah bertemu dengan seseorang yang istimewa yang akhirnya kini menjadi teman hidup aku. Aku tidak tahu bila kali terakhir kami bertemu. Yang pasti bukan pada Hari Konvokesyen. Menangiskah aku saat kita ucap selamat tinggal? Aku tak tahu. Yang aku tahu, aku sentiasa selesa di latar mana pun kami bertemu. Di kolej kediaman, di fakulti, di perpustakaan, di Mid Valley, juga di Tasik Varsiti. 


Kenangan kami mungkin terlalu singkat, tapi terlalu lama juga untuk dikenang. Mustahil dia akan membaca coretan ini, tapi aku sungguh berterima kasih pada Allah kerana menemukan aku dengan dia yang mencorakkan kenangan manis yang indah untuk diingati. 


TAMAT










Comments

Popular posts from this blog

PBAKL 2025

 Akan tiba masa untuk aku dan Sofea ke PBAKL lagi tahun ini.  Sudah ada beberapa buah buku yang ingin aku beli. Juga untuk Sofea, aku masih berfikir-fikir sama ada dia sesuai atau tidak untuk baca Nirnama oleh Hilal Asyraf dengan usianya baru sembilan tahun.  Dia sudah ulang lebih tiga kali baca trilogi Sunan oleh RAM. Aku pun belum selesai baca. Mungkinkah aku perlu dibayar baru aku akan habis baca? Kahkah.  Sampai jumpa nanti. Kalau aku masih ingat password blog ini, aku akan tulis pengalaman tahun ini. 

Lagu: Sebuah Mesin Masa

 Aku kalau ditanya, waktu mana paling ingin aku ulang, mungkin jawapannya hanya satu.  Zaman universiti! Aku berpendapat, zaman universiti ialah kedua yang terseronok selepas zaman sekarang (emak anak dua dan teman hidup kepada encik jambang itu)  Kalau nak feeling-feeling muda, ada dua lagu aku akan pasang. Err atau lebih daripada dua.  1) Faizal Tahir - Gemuruh Lagu tema Haluan Siswa atau orientasi seluruh Malaysia ni memang membangkitkan semangat. Zaman berat 50kg dan muka cengkung walaupun masih nampak berisi. Suara Faizal Tahir yang padu dan bertenaga tu seakan-akan mengalir pada lagunya.  2) Lagu tema Haluan Siswa masa tahun aku. Satu Suara. Huii lagu ni memang terbayang baju biru kuning Kolej 8 yang aku masih pakai sampai sekarang. Keadaan dewan yang riuh nyanyi. Dengar lagu ini automatik aku rasa aku berusia 20 tahun.  3) Beijing Huan Ying Ni Lagu ini perasaannya sangat istimewa. Masa aku jalani pertukaran pelajar ke Beijing, lagu ini buat aku rasa ...

Perpustakaan Sekolah

Masa darjah tiga, aku dilantik jadi pengawas perpustakaan. Seronok sangat walaupun jadi librarian ni tak popular berbanding pengawas sekolah. Aku tak pernah teringin jadi pengawas sekolah melainkan hanya teringin baju uniform mereka yang berwarna biru. Kan warna biru susah nak kotor.  Semasa sekolah rendah, aku jadi pengawas perpustakaan dari darjah tiga sampailah darjah enam. Perpustakaan sekolah rendah aku tak besar, tapi sekarang, setiap kali aku terbaca buku yang ada aura 90-an dan sebelumnya, aku akan terbayang membacanya di perpustakaan yang dikendalikan Cikgu Zabina itu. Perpustakaan sekolah kampung itu punya tempat sungguh istimewa bagi aku. Di situlah aku mula mengenal dengan rakus buku-buku, sejak boleh mula membaca. Bacaan percuma, siapa tak suka. Tambahan pula pengawas perpustakaan boleh pinjam lebih banyak buku. Rak buku bahagian ensiklopedia paling menarik hati. Bukunya tebal-tebal dan tulang ( spine ) buku sampai berjahit. Memang buku berkualiti tinggi. Dan buku sep...