Nama sebenar dirahsiakan. Dia manis, berlesung pipit betul-betul di tepi bibir. Kulitnya putih bersih. Baju kurung kain kapas corak bunga Inggeris selalu dipakainya semasa di dewan kuliah.
Mesti terbayang gadis Melayu terakhir kan. Hakikatnya, dia tidaklah seayu penerangan aku di atas. Dan dia pun bukan suka kalau diiktiraf gadis paling lemah lembut di dunia.
Aku namakan dia Domo Kun. Mengambil sempena watak kartun (kartun ke?) kegemaran dia.
Imbas kembali macam mana kami boleh bertemu. Di dewan Kolej Kediaman Kinabalu.
"Intan, ni ada orang kampung Intan ni." Seseorang memperkenalkan dia kepada aku. Dia studen pengambilan kedua. Tak silap, dialah gadis pertama dalam batch kami yang sama fakulti dan sama kolej kediaman dengan aku.
Aku angguk dan senyum. Dia balas dengan senyum mesra tapi aku sekadar bertanya asalnya. Alor Setar. Sedikit sebanyak aku gembira kerana akhirnya ada seseorang yang boleh melayan aku bertutur dalam dialek Kedah.
Entah macam mana, kami boleh serasi walaupun tak rapat mana. Dah lupa macam mana kami selalu berborak. Tapi yang pasti, kami selalu juga habiskan hujung minggu di Mid Valley. Aku perkenalkan bibimbap padanya. Dia pun suka pesan menu beef grill di food court Mid Valley.
Dia ada kawan baiknya sendiri. Aku, ada circle kawan yang berbeza dengannya. Tapi ada masa, kami hanya akan keluar berdua. Suatu hari, dia ajak aku ke Mid Valley. Dia akan belanja semua perbelanjaan pada hari itu. Aku sebetulnya malu alah, tapi kalau dibelanja makanan kegemaran, siapa tak suka kan?
Kami sembang panjang dan bila dengan dia, aku banyak berkongsi tentang diri aku. Tingkatan enam mengubah aku menjadi seorang pendengar dan aku jadi tak pandai bercerita tentang diri sendiri.
Dengan Domo Kun, sebaliknya. Dia banyak mengangguk dan melayan percakapan aku.
Lepas makan bibimbap, kami pusing lagi mencuci mata, membeli keperluan diri. Dan kami makan lagi di McDonald's. Aku sekadar teman dia menjamu selera tapi aku pun turut oder makanan. Bungkus untuk pulang. Isy, gamak sungguh aku kikis duit dia.
Sebelum pulang, dia ajak aku ke Beard Papas. Dia nak bungkuskan untuk kakak sebilik. Dan begitulah seterusnya. Bila ke mana-mana, dia akan bungkuskan makanan sedap-sedap untuk kawan yang lain.
Dia pernah berjanji, "Nanti kami belanja hampa makan situ pulak." Tunjuk dia pada Noodles Station. Aku diam saja walaupun aku tak berapa sukakan mi. Tapi apapun, kami tak sempat makan di situ.
Suatu petang, aku alami senggugut yang agak kuat. Aku tertidur menjelang asar. Kedengaran pintu bilik diketuk bertalu-talu. Dengan kerutan di wajah, aku membuka pintu. Senyuman dia menghiasi pandangan aku.
"Alah, comelnya baju!" tegur dia pada baju Muslimah aku berjenama Hilyah itu.
Baju polka dot warna pink itu masih aku pakai hingga kini, errr di dalam rumah. Dan setiap kali menyarungnya, aku akan terkenang, seseorang pernah memuji kecomelan baju itu.
Dia menayangkan bungkusan plastik Big Apple. Di dalamnya ada tiga ketul donat yang semuanya menepati cita rasa aku.
Begitulah dia. Bab makan, tak pernah lupakan kawan.
Bersambung
Domo!
ReplyDeleteDomo bukan nama sebenar
DeleteDengan sweater merahnya. Dia besa ja jumpa hang kan
ReplyDelete