Skip to main content

Tukang Cuci Ofis

Tukang Cuci


Masa zaman WFO, work from office, ofis kami ada tukang cuci yang akan datang seminggu dua kali untuk kemaskan meja, cucikan pantri dan lap tingkap. Untuk buang sampah, depa akan datang setiap hari. 

Awal-awal kerja di ofis BTHO ni, ada dalam tiga hingga empat orang tukang cuci. Seorang akan lap meja, seorang akan leretkan penyedut hampagas di atas lantai, seorang lagi akan lap tingkap. 

Saya sebenarnya ada satu rahsia. Saya sangat suka tengok seorang tukang cuci tu lap meja. Dia akan sembur meja dengan pencuci khas dan lap perlahan-lahan. Dia lap permukaan meja dengan lemah lembut. Berhati-hati dia tolakkan tetikus ke tepi, risau terganggu kerja di komputer. Dia lap bahagian atas dan belakang komputer berjaga-jaga, membuang habuk yang melekat. 

Kalau tengah bersembang, saya akan tiba-tiba diam sebab nak tengok dia lap meja. Ralit tengok. Rasa mengantuk, macam kena buai atau dodoikan. Kalau tukang cuci lain yang buat, tak sama perasaannya. 

Tukang cuci situ, semua orang seberang. Saya tak ingat nama kakak yang lap meja penuh santun tu, tapi saya ingat, dia bersalinkan anaknya di HUKM. Dan anak dia nama, Maulida Salsabila. Haa, nama anak ingat, nama mak, tak pernah tanya betul-betul.

Tukang cuci yang paling lama, nama Kak Su. Sampailah saya WFH sebelum Covid pun, dia masih di sana. Seorang. Sebab kawan yang lain dah pindah kerja tempat lain. Kisahnya, sebab kontrak di TNB ditamatkan. Situ punca pendapatan utama depa. Ofis kami ni kira pendapatan sampingan la kiranya. Jadi masing-masing cari kerja di tempat lain. 

Kak Su ni rajin. Anak dia pun ikut tolong sama-sama cuci. Masa tu dia dah sorang-sorang mencuci. 
Kak Su ni kampung dia tak jauh dari Padang, tanah air Hamka. Dia pernah kata, orang kampung dia berebut nak berjodoh dengan anak dia, sebab anak dia IC Malaysia. Tapi akhir sekali, anak dia berjodoh dengan orang Kelantan. Risau dia tanya adat perkahwinan dekat Malaysia. Dia kata tempat dia tak ada hantaran. Kenduri pun ringkas sangat. 

Perkara paling lucu, Kak Su pernah bercerita dekat kami tentang seekor kucing. Tapi dia sebut 'kucing perempuan'. Saya tengok Kamilah masa tu. Kami tahan gelak. Seriuslah kucing perempuan? Alahai comel sangat! 

Lepas Kak Su balik baru kami gelak. Lembut sungguh bahasa dia, tak sanggup betinakan haiwan. 😂

Masa ofis kami ada jamuan potluck, kami akan pelawa Kak Su makan bersama dan tapau bawak balik makanan. Riak wajah dia gembira sangat. Dan berkali-kali cakap terima kasih. 

Rindu Kak Su. Apa khabar agaknya dia sekarang? 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

PBAKL 2025

 Akan tiba masa untuk aku dan Sofea ke PBAKL lagi tahun ini.  Sudah ada beberapa buah buku yang ingin aku beli. Juga untuk Sofea, aku masih berfikir-fikir sama ada dia sesuai atau tidak untuk baca Nirnama oleh Hilal Asyraf dengan usianya baru sembilan tahun.  Dia sudah ulang lebih tiga kali baca trilogi Sunan oleh RAM. Aku pun belum selesai baca. Mungkinkah aku perlu dibayar baru aku akan habis baca? Kahkah.  Sampai jumpa nanti. Kalau aku masih ingat password blog ini, aku akan tulis pengalaman tahun ini. 

Lagu: Sebuah Mesin Masa

 Aku kalau ditanya, waktu mana paling ingin aku ulang, mungkin jawapannya hanya satu.  Zaman universiti! Aku berpendapat, zaman universiti ialah kedua yang terseronok selepas zaman sekarang (emak anak dua dan teman hidup kepada encik jambang itu)  Kalau nak feeling-feeling muda, ada dua lagu aku akan pasang. Err atau lebih daripada dua.  1) Faizal Tahir - Gemuruh Lagu tema Haluan Siswa atau orientasi seluruh Malaysia ni memang membangkitkan semangat. Zaman berat 50kg dan muka cengkung walaupun masih nampak berisi. Suara Faizal Tahir yang padu dan bertenaga tu seakan-akan mengalir pada lagunya.  2) Lagu tema Haluan Siswa masa tahun aku. Satu Suara. Huii lagu ni memang terbayang baju biru kuning Kolej 8 yang aku masih pakai sampai sekarang. Keadaan dewan yang riuh nyanyi. Dengar lagu ini automatik aku rasa aku berusia 20 tahun.  3) Beijing Huan Ying Ni Lagu ini perasaannya sangat istimewa. Masa aku jalani pertukaran pelajar ke Beijing, lagu ini buat aku rasa ...

Perpustakaan Sekolah

Masa darjah tiga, aku dilantik jadi pengawas perpustakaan. Seronok sangat walaupun jadi librarian ni tak popular berbanding pengawas sekolah. Aku tak pernah teringin jadi pengawas sekolah melainkan hanya teringin baju uniform mereka yang berwarna biru. Kan warna biru susah nak kotor.  Semasa sekolah rendah, aku jadi pengawas perpustakaan dari darjah tiga sampailah darjah enam. Perpustakaan sekolah rendah aku tak besar, tapi sekarang, setiap kali aku terbaca buku yang ada aura 90-an dan sebelumnya, aku akan terbayang membacanya di perpustakaan yang dikendalikan Cikgu Zabina itu. Perpustakaan sekolah kampung itu punya tempat sungguh istimewa bagi aku. Di situlah aku mula mengenal dengan rakus buku-buku, sejak boleh mula membaca. Bacaan percuma, siapa tak suka. Tambahan pula pengawas perpustakaan boleh pinjam lebih banyak buku. Rak buku bahagian ensiklopedia paling menarik hati. Bukunya tebal-tebal dan tulang ( spine ) buku sampai berjahit. Memang buku berkualiti tinggi. Dan buku sep...